Tuesday, December 2, 2008

EKONOMI MALAYSIA TIDAK TERJEJAS TERUK

BNS KSE
MALAYSIA-EKONOMI/I
PAKAR EKONOMI YAKIN MALAYSIA TIDAK TERJEJAS TERUK
Oleh Wan Nor Azura Bt Mior Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Seorang pakar ekonomi yakin ekonomi Malaysia tidak akan terjejas teruk akibat kemelesetan global, berikutan pelbagai inisiatif rangsangan fiskal yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk merancakkannya.

Banyak pihak merasakan bahawa kerajaan harus mempercepatkan perbelanjaan
agar dapat, bukan sahaja mengelakkan Malaysia daripada mengalami pertumbuhan
negatif, malah juga memacu perkembangan ekonomi.

Menurut ketua pakar ekonomi kumpulan RAM Holdings Berhad, Dr Yeah Kim
Leng, jika langkah-langkah fiskal itu berkesan secara kolektif, maka semua
sektor utama ekonomi tidak akan jatuh menjunam.

Yeah, bagaimanapun berkata, Malaysia tidak akan terjerumus ke kancah
kemelesetan memandangkan tiada penyusutan mendadak pengeluaran.

Jumaat lepas, gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz,
mengumumkan bahawa sektor pembuatan susut 1.8 peratus disebabkan terutamanya
oleh prestasi lemah industri berorientasikan eksport.

Bercakap kepada BERNAMA Yeah berkata sektor pembuatan akan menyaksikan
pertumbuhan yang jauh lebih rendah tahun depan.

"Saya rasa kita berkemungkinan mencapai empat peratus memandangkan
pertumbuhan sederhana dan kelembapan global," katanya.

Katanya, buat masa ini kelembapan sektor pembuatan Malaysia sebahagiannya
bersifat saiklikal dan sebahagian lagi dari sudut struktur.

Meskipun Malaysia berada pada kedudukan yang agak tinggi dari segi daya
saing dalam kalangan ekonomi berorientasi eksport yang baru berkembang, namun
pertumbuhannya seolah-olah terhenti dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Yeah berkata kebanyakan ekonomi paling maju seperti Amerika Syarikat,
Jepun dan negara-negara Kesatuan Eropah telahpun dilanda kemelesetan dalam suku
ketiga dan keempat tahun ini.
--BERNAMA
WNA AS KY