Tuesday, July 7, 2009

MPOB-PEKEBUN KECIL

MPOB-PEKEBUN KECIL
MPOB LULUS PERMOHONAN RM41.974 JUTA UNTUK TANAMAN SEMULA
Oleh Wan Nor Azura Mior Abd Aziz

BANGI, 7 Julai (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah
meluluskan permohonan berjumlah RM41.974 juta bagi program penanaman semula
sawit yang melibatkan kawasan seluas 6,995 hektar.
Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Mohd Basri Wahid berkata sehingga 2 Julai
lepas, lebih RM1 juta telah dibayar bagi program penanaman semula itu,
melibatkan 186 hektar ladang sawit.
Beliau berkata pekebun kecil yang telah mendapat kelulusan MPOB
bagi penanaman semula pokok sawit yang berumur lebih 25 tahun, perlu
melaksanakan kerja-kerja penebangan secepat mungkin.
"Ini boleh membawa kepada pertumbuhan ekonomi di kalangan pekebun kecil dari
industri sawit di sektor anak benih di negara kita. Dengan demikian dapat
menjana satu pertumbuhan di kalangan mereka ini dan membawa kepada tanaman pokok
yang lebih mendatangkan hasil," kata Basri dalam temubual eksklusif dengan
Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata statistik MPOB menunjukkan terdapat 46,061 hektar kawasan
sawit milik pekebun kecil di Malaysia yang boleh ditanam semula.
Jumlah berkenaan melibatkan 24,763 pekebun kecil di seluruh negara, katanya.
Basri berkata pekebun kecil perlu merebut peluang yang diberi kerajaan bagi
meningkatkan sumber pendapatan mereka.
Beliau berkata kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM50.134 juta yang
perlu diagihkan sehingga hujung tahun ini bagi merangsang ekonomi sawit negara.
Di bawah pakej rangsangan ekonomi kedua, kerajaan menyediakan bantuan
sebanyak RM6,000 sehektar bagi tananam semula sawit.
Bantuan itu adalah tambahan kepada Skim Insentif Tanam Semula Sawit (SITS)
2008 yang berjumlah RM1,000 sehektar yang telah dilaksanakan mulai 1 Dis
lepas oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan dana sejumlah RM100 juta di
dalam skim bantuan pakej rangsangan ekonomi kedua bagi membantu para pekebun
sawit sehingga Disember 2010.
Antara objektif skim tersebut adalah bagi mempercepatkan usaha penanaman
semula sawit di bawah SITS 2008, kata beliau.
Ini akan membantu meringankan kos penanaman semula khususnya pekebun kecil
yang meliputi aktiviti penebangan, pembelian anak benih sawit, penyediaan tapak,
baja dan racun.
Ia juga akan mengurangkan pengeluaran sawit yang dijangka menyumbang kepada
penurunan paras stok minyak sawit negara, seterusnya mengimbangi harga minyak
sawit, katanya.
-- BERNAMA
WNA NHD