Wednesday, May 19, 2010

Peluang Laksana Tanggungjawab Sosial Tenaga Nasional

Oleh Wan Nor Azura Mior Abd Aziz

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Yayasan Tenaga Nasional (YTN) kini membuka peluang kepada pelajar tajaannya untuk melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama-sama Tenaga Nasional.

Menurut Pengarah YTN, Azman Zakaria, langkah ini adalah satu pendedahan selain membolehkan pelajar berkenaan mempraktikkan sambil mendalami pelajaran mereka terutamanya dalam pengurusan sains sosial korporat.

Program CSR turut memberi kesedaran tentang tanggungjawab sosial korporat agar pelajar tajaan YTN lebih bertanggungjawab dan prihatin terhadap keperluan masyarakat.

Di samping itu, program itu melatih para pelajar untuk berfikir secara inovatif dan kritis serta menjana jati diri generasi muda yang akan menjadi barisan pelapis pemimpin pembangunan pada masa hadapan.

TAJAAN YTN

Pada masa ini YTN menaja 2,050 pelajar di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

Pelajar tajaan YTN ditempatkan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di kedua-dua kampusnya iaitu di Putrajaya dan Bandar Muadzam Shah, Pahang di samping universiti terkemuka tempatan dan luar negara.

Dalam usaha membentuk pemimpin pelapis negara, pelajar tajaan YTN diberi latihan praktikal bagi mempersiapkan mereka dengan ilmu pengurusan untuk menghadapi alam pekerjaan setelah tamat pengajian, kata Azman.

MEMBINA KEYAKINAN DIRI

Menurut Azman, YTN menyediakan landasan bagi memantapkan kemahiran sokongan sebagai penjana keyakinan diri pelajar menghadapi dunia luar terutama dalam bidang pekerjaan dan perhubungan awam.

Dalam membentuk kemahiran insaniah di kalangan pelajar, YTN mensasarkan program ini kepada semua pelajar tajaannya dalam dan luar negara.

Menurut Azman, keseluruhan kerja-kerja asas sehingga pelaksanaan program dilakukan sepenuhnya oleh para pelajar, manakala dana disediakan YTN dengan memberi panduan berupa dasar dan matlamat program.

Kata beliau, pelajar akan melaksanakan sepenuhnya program ini termasuklah perancangan, kaji selidik kesesuaian dan tahap keberkesanan, pulangan publisiti serta impak positifnya kepada semua pihak.

Program CSR ini berkonsepkan khidmat kepada masyarakat berasaskan pembangunan pendidikan. Para pelajar akan diberi kebebasan untuk merangka pelaksanaan dan pengisian program.

Kata Azman lagi, ini akan menjadikan mereke lebih kreatif dan inovatif bagi mencapai objektif penganjurannya secara optimum dan berekonomi selain belanjawan yang berhemah.

AGEN PERUBAH MASYARAKAT ORANG ASLI

Baru-baru ini, YTN melalui para pelajar tajaannya di UNITEN Kampus Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Selangor, telah melaksanakan program CSR berkonsepkan program kesedaran dan motivasi peningkatan pendidikan kepada 40 pelajar Orang Asli dari seluruh Selangor.

Program yang bertemakan 'Strive For Excellence' (Berusaha Mencapai Kecemerlangan) ini berlangsung di Kampus UNITEN Putrajaya dari 9 hingga 11 April.

Anak-anak Orang Asli yang terlibat terdiri daripada pelajar Tingkatan Tiga yang akan menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) pada hujung tahun ini.

Program ini dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar tajaan YTN dalam bidang Kejuruteraan dan Sains Komputer dari UNITEN Kampus Putrajaya. Antara aktiviti dijalankan ialah ceramah motivasi, lawatan sekitar Kampus UNITEN dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK).

Antara yang memberikan ceramah motivasi ialah Profesor Dr Juli Edo dari Universiti Malaya (UM). Profesor Juli merupakan anak Orang Asli dan bekas pelajar tajaan YTN.

Menurut Azman penganjur turut menempatkan dan melaksanakan keseluruhan program ini di Kampus UNITEN bagi memberi peluang kepada sasaran untuk merasai suasana kehidupan di kampus pusat pengajian tinggi.

"Di samping sebagai dorongan dan motivasi kepada pelajar Orang Asli berkenaan untuk belajar bersungguh-sungguh dan tahu hala tuju peningkatan dalam melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat yang lebih tinggi," beliau mengulas.

Usaha YTN ini juga dilihat sebagai serampang dua mata dalam membantu Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) untuk memajukan golongan masyarakat ini.

TAJAAN YTN

Semenjak penubuhannya pada tahun 1993, YTN telah menaja 8,820 pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam dan luar negara melibatkan perbelanjaan melebihi RM500 juta.

Sebahagian besar bekas pelajar biasiswa tajaan YTN kini berkhidmat dengan Tenaga Nasional.

Pada hakikatnya, Tenaga Nasional melalui YTN secara langsung telah menyumbang kepada pembangunan tenaga manusia profesional serentak dengan pembangunan negara. Jumlah keseluruhan yang dibelanjakan untuk tujuan kebajikan sejak YTN ditubuhkan adalah melebihi RM35 juta.

Semua sumbangan dan program yang dilaksanakan membuktikan keprihatinan YTN/Tenaga Nasional terhadap masyarakat umum.

YTN tidak hanya menumpukan kepada penajaan pelajar ke peringkat tinggi sahaja, malahan mengemblengkan sebahagian lagi dana dan usahanya dalam mengendalikan program-program kebajikan berasaskan pendidikan bersesuaian dengan misinya untuk 'Mempertingkatkan Pendidikan dan Menggalakkan Kebajikan'.

Ia turut memberi sumbangan kebajikan kepada masyarakat yang memerlukan melalui penganjuran program-program pembangunan pendidikan dan kemasyarakatan.

Antara program termasuk Program Kem Remaja Bestari, Program Pemangkin Generasi Cemerlang, Bantuan Perubatan Kanser, Sumbangan Tajaan Pembedahan Kanak-kanak Mengidap Penyakit Jantung, Sumbangan Alat Bantuan Mengajar Ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK), Tajaan Bil Elektrik Pusat Cyber Komuniti.-- BERNAMA