Thursday, August 5, 2010

MSM-HARGA/I

MSM KEKAL STABIL PADA RM2,650 SETONNE SEHINGGA TAHUN DEPAN
By Wan Nor Azura Mior Abd Aziz

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama)-- Pasaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka
kekal stabil sehingga tahun depan dengan harga-harganya berlegar sekitar RM2,650
setonne berikutan kenkangan bekalan yang disebabkan oleh fenomena El Nino dan
kecenderungan mengikuti rapat harga-harga minyak saingan, kata seorang
penganalisis firma penyelidikan domestik.
"Sementara fenomena El Nino baru-baru ini agak sederhana, ia sudah cukup
untuk menyekat perkembangan putik-putik sawit yang mengambil masa enam bulan
untuk matang dan seterusnya menghasilkan buah tandan segar (FFB).
"Bagaimanapun, kesan ke atas perolehan kelapa sawit mungkin dirasai pada
suku akhir tahun," kata Syed Muhammed Kifni Syed Kamaruddin, penganalisis kanan
MIDF Research memberitahu Bernama hari ini.
Harga-harga MSM berjaya bertahan dengan agak baik setakat tahun ini meskipun
dengan pengeluaran kacang soya yang luar biasa di Amerika Selatan.
"Sehingga kini, permintaan yang kukuh dan inventori minyak boleh dimakan
global yang ketat, dengan nisbah stok/penggunaan jatuh ke paras rendah
multitahun telah menyediakan sokongan kepada harga minyak boleh dimakan secara
umumnya," kata beliau.
Dari Januari hingga Julai, harga-harga MSM berada dalam julat kecil,
bergerak antara RM2,300 hingga RM2,700 tonne setiap metrik.
"Kami turut menjangka harga-harga MSM dapat berhadapan dengan halangan
segera sekitar paras RM2,600 setonne metrik dan kemudiannya mengukuh dalam
tempoh terdekat.
"Pergerakan harga MSM telahpun, dan mungkin terus dipengaruhi oleh
trend-trend umum dalam komoditi utama terutamanya minyak mentah dan minyak
kacang soya," kata Syed Muhammed Kifni.
Beliau juga berkata cara mengekalkan industri minyak sawit di Malaysia ialah
terus mengembangkan pengeluaran dengan meningkatkan perolehan.
Pengembangan berterusan keluasan perladangan terbatas oleh kekurangan jumlah
tanah yang ada dan sesuai untuk perladangan kelapa sawit.
Purata FFB setiap hektar dan purata kadar ekstrak minyak (OER) ladang kelapa
sawit di Malaysia ialah masing-masing sekitar 20 tonne metrik setiap hektar dan
20 peratus, pada dekad lalu.
Pelbagai usaha penyelidikan telah diambil oleh kedua-dua entiti persendirian
dan kerajaan untuk meningkatkan perolehan pokok kelapa sawit, dan hasilnya
setakat ini agak bersifat evolusi berbanding revolusi.
Bagaimanapun, usaha terus dijalankan dan beberapa syarikat besar seperti
Sime Darby Bhd dan Genting Plantations Bhd yang telah memulakan penyelidikan
termaju yang diharapkan dapat menyediakan industri itu dengan penyelesaian
berguna kepada pertumbuhan jangka panjangnya.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan, ECMLibra Investment, Bernard Ching
berkata industri itu menjangkakan urus niaga berjajaran kecil pada bulan Ogos
dengan beberapa tempias negatif hasil daripada kenaikan pengeluaran dan laporan
lembap kacang soya.
Pada bulan Julai, niaga hadapan MSM melantun semula sedikit dan ditutup
lebih baik pada paras tujuh bulan.
Awal tahun ini, El Nino menjadi sebutan setiap orang dan sejak kebelakangan
ini, La Nina pula yang menjadi bualan.
"Kami percaya adalah terlalu awal untuk memaklumkan sekiranya La Nina ini
akan memperlihatkan ancaman besar kepada pengeluaran," kata beliau.
Ching juga berkata tiada banyak yang perlu diujakan mengenai harga-harga MSM
pada tempoh terdekat ini.
Dengan harga bergerak antara RM2300-2700, syarikat-syarikat masih lagi
mengaut keuntungan pada paras ini, kata beliau sambil menambah yang dalam tempoh
pertengahan hingga panjang, penggerak utama ialah yang berkaitan dengan cuaca
yang mungkin boleh menjejaskan pengeluaran.
Dalam tempoh jangka panjang, penggunaan minyak sawit boleh meningkat dan
sehubungan itu prospek adalah baik untuk industri untuk terus berkembang.
"Satu-satunya masalah ialah kekurangan tanah yang bersesuian yang boleh
menjejaskan pertumbuhan," tambah Ching.
-- BERNAMA
WNA VMD AA